Wednesday, 15 June 2011

Wanita warga emas melecur dalam kebakaran

KOTA BHARU 15 Jun - Seorang wanita warga emas yang lumpuh sejak tiga tahun lalu, nyaris rentung dalam kebakaran membabitkan rumah mangsa dan jirannya di Kampung Kubang Pasu, dekat sini hari ini.
Ketika kejadian pukul 8.25 pagi, mangsa, Bidah Salleh, 85, yang berada di dalam rumah sempat mengesot keluar sebelum diselamatkan oleh jiran-jirannya.
Bidah yang melecur di belakang badannya, dibawa ke rumah salah seorang anaknya di Kampung Sungai Keladi, dekat sini sebelum dihantar ke klinik untuk rawatan.
Difahamkan, mangsa tinggal bersendirian di rumah selepas anaknya yang bertugas sebagai jururawat di salah sebuah hospital di sini, keluar bekerja.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Anuarul Hakim Muhni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.30 pagi dan seramai 39 anggota dari tiga buah balai bersama empat jentera telah dikejarkan ke tempat kejadian.
"Pihak kami mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan kebakaran tersebut. Tiada kemalangan jiwa berlaku dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan.
"Kami berjaya menyelamatkan beberapa buah rumah di kawasan berdekatan daripada musnah terbakar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, Bidah bersyukur kerana terselamat dalam kebakaran tersebut walaupun mengalami kecederaan.
"Makcik tak tahu nak kata apa, kecuali bersyukur dan berterima kasih kepada jiran-jiran yang telah bersusah-payah menyelamatkan makcik," ujarnya.