Sunday, 4 September 2011

Tiga Kedai Hangus


Tiga kedai hangus 

KOTA BHARU-Tiga peniaga terkejut dari lena apabila pintu kediaman mereka diketuk oleh penduduk kampung selepas menyedari premis masing-masing hangus dalam kebakaran pagi semalam.

Dalam kejadian di Simpang Tiga Kedai Buloh, kira-kira jam 5.45 pagi itu, dua premis perniagaan musnah iaitu melibatkan sebuah kedai menjual akhbar, satu premis jualan makanan burung dan ternakan, manakala kedai jualan perkakasan yang berdekatan juga hangus sebahagiannya.

Dalam masa sama, seramai 21 penghuni dua rumah menarik nafas lega apabila terselamat kerana hanya sedikit bahagian rumah mereka yang berada berdekatan lokasi kebakaran disambar api.

Anggaran kerugian yang melibatkan ketiga-tiga peniaga berkenaan adalah kira-kira RM100,000 kerana kebanyakan barangan tidak dapat diselamatkan disebabkan api marak dengan cepat.

Bagaimanapun, tindakan pantas bomba juga dapat menyelamatkan beberapa premis kediaman dan kedai berdekatan dengan anggaran bernilai RM200,000.

Seorang mangsa, Azhar Awang yang juga peniaga makanan haiwan berkata, dia hampir pengsan setelah melihat api besar di kedainya selepas dikejutkan oleh penduduk.

”Setelah pintu rumah diketuk oleh penduduk saya menjenguk dari jendela dan mendapati keseluruhan kedai saya musnah.

”Saya juga sedih kerana lebih 100 burung termasuk arnab dan ayam yang diletakkan di kedai juga tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Peniaga perkakasan binaan, Mahadi Mohd Yusof berkata, ketika kejadian dia tidur di rumahnya yang berada kira-kira 200 meter dari tempat kejadian dan terkejut setelah pintu kediamannya diketuk oleh penjual daging di kawasan tersebut.

”Pada mulanya saya ingatkan peniaga ingin meminjam van untuk mengambil daging lembu, tetapi saya terperanjat selepas diberitahu kedai saya terbakar.

”Setelah bergegas ke lokasi kejadian saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana api sangat besar dan hampir kesemua kedai berdekatan premis jualan hangus,” katanya.

Bersimpati dengan kejadian itu, Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar menyampaikan sumbangan bernilai RM500 kepada setiap mangsa semalam.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ali Abdul Rahman berkata, seramai 19 anggota bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan jam 6.06 pagi semalam dan punca kejadian masih disiasat. 

Friday, 12 August 2011

Tinggal sehelai sepinggang



Tinggal sehelai sepinggang


Saturday, 18 June 2011

16 kontinjen sertai pertandingan kawad bomba

KOTA BHARU 18 Jun - Seramai 635 peserta daripada 16 kontinjen akan mengambil bahagian dalam Pertandingan Kawad Kecekapan Operasi Kebombaan Peringkat Kebangsaan Ke-13 di sini pada 19 hingga 23 Jun ini.
Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Osman berkata, pertandingan akan berlangsung di beberapa lokasi iaitu pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV dekat sini, Gate Air Kulim, Pasir Mas dan Felcra Gua Dalam, Rantau Panjang.
Beliau berkata, objektif pertandingan antara lain untuk meningkatkan lagi kecekapan, mutu kerja dan disiplin anggota bomba dalam menjalankan tugas mereka.
"Pertandingan juga bertujuan mengeratkan semangat di kalangan anggota, selain membentuk budaya kerja berdaya saing serta mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi cabaran," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, kelmarin.
Katanya, antara pertandingan yang akan diadakan ialah kawad kaki, fireman lift, hantaran jauh berhalangan, kawad penyelamatan kemalangan jalan raya dan menyelamat di air.

Perjumpaan unik bekas pelajar

KUANTAN 18 Jun - Perjumpaan 96 bekas pelajar Sekolah Menengah Sulaiman (SMS) Bentong membawa kelainan apabila mereka memakai pakaian sekolah bagi mengembalikan nostalgia zaman persekolahan sekitar tahun 1970-an.
Lebih menarik, perhimpunan pagi turut diadakan dengan menyanyikan lagu Negaraku dan sekali gus mengimbau kenangan sewaktu persekolahan dahulu.
Suasana ceria jelas terpancar kepada bekas pelajar sekolah terbabit yang kebanyakannya berusia sekitar antara 45 hingga 55 tahun.
Menurut bekas ketua pengawas sekolah itu pada tahun 1977, Datuk Shamsuddin Nawawi, kelainan dalam mengadakan perjumpaan tersebut telah disusun oleh satu jawatankuasa khas terdiri daripada bekas pelajar untuk mencari tema bagi tujuan tersebut.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menambah, jika sebelum ini diadakan perjumpaan biasa sahaja tetapi dengan memakai pakaian sekolah akan memberi kenangan manis kepada mereka.
"Pada mulanya saya bimbang kerana mungkin tidak ramai yang akan memakai uniform itu tetapi gembira kerana mereka memberi kerjasama dan secara tidak langsung mengingatkan kenangan pada zaman persekolahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Selain bekas pelajar, bekas pengetua dan guru sekolah tersebut turut hadir dalam perjumpaan itu.
Shamsuddin berkata, pihaknya akan mewujudkan Persatuan Alumni SMS bagi membolehkan semua bekas pelajar di sekolah itu menyertainya.
Dalam pada itu, bekas pelajar sekolah tersebut, Raihana Khudri menyifatkan perjumpaan itu membawa segala kenangan persekolahan yang masih segar dalam ingatan.
"Sukar hendak digambarkan apabila kami memakai pakaian sekolah dan berjumpa semula di sini yang memberi kenangan terindah kepada kami," katanya yang kini bertugas sebagai Ketua Komunikasi Korporat, Kementerian Pengajian Tinggi.
Bagi bekas Pengetuanya, R.I.S Stork, 77, beliau gembira kerana turut sama dijemput pada perjumpaan itu dan dapat berjumpa semula dengan bekas anak didiknya.
Katanya, pendidikan yang dicurahkan oleh para guru telah mengubah kehidupan bekas pelajar terbabit untuk menjalani kehidupan sempurna sehingga kini.

Friday, 17 June 2011

Keselamatan Kebakaran

TEKNIK MENYELAMATKAN DIRI SEMASA BERLAKU KEBAKARAN
TIPS KESELAMATAN KEBAKARAN DI RUMAH
TEKNIK MELAWAN KEBAKARAN KECIL
TATACARA PANGGILAN KECEMASAN 999

Wednesday, 15 June 2011

Wanita warga emas melecur dalam kebakaran

KOTA BHARU 15 Jun - Seorang wanita warga emas yang lumpuh sejak tiga tahun lalu, nyaris rentung dalam kebakaran membabitkan rumah mangsa dan jirannya di Kampung Kubang Pasu, dekat sini hari ini.
Ketika kejadian pukul 8.25 pagi, mangsa, Bidah Salleh, 85, yang berada di dalam rumah sempat mengesot keluar sebelum diselamatkan oleh jiran-jirannya.
Bidah yang melecur di belakang badannya, dibawa ke rumah salah seorang anaknya di Kampung Sungai Keladi, dekat sini sebelum dihantar ke klinik untuk rawatan.
Difahamkan, mangsa tinggal bersendirian di rumah selepas anaknya yang bertugas sebagai jururawat di salah sebuah hospital di sini, keluar bekerja.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Anuarul Hakim Muhni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.30 pagi dan seramai 39 anggota dari tiga buah balai bersama empat jentera telah dikejarkan ke tempat kejadian.
"Pihak kami mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan kebakaran tersebut. Tiada kemalangan jiwa berlaku dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan.
"Kami berjaya menyelamatkan beberapa buah rumah di kawasan berdekatan daripada musnah terbakar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, Bidah bersyukur kerana terselamat dalam kebakaran tersebut walaupun mengalami kecederaan.
"Makcik tak tahu nak kata apa, kecuali bersyukur dan berterima kasih kepada jiran-jiran yang telah bersusah-payah menyelamatkan makcik," ujarnya.